Assalamualaikum.
Ramadhan datang kembali.
Setiap tahun coraknya adalah sama. Ada yang berpuasa, turut perintah Allah SWT. Ada yang tidak ambil peduli, puasa itu adalah perkara wajib yang sama seperti sembahyang lima waktu dan 3 perkara rukun islam yang lain. Wajib tapi tak kiralah jika tak buat. Ada yang sekadar penat berpuasa tetapi hatinya kotor dan penuh noda.
Sehari sebelum puasa, rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-51. Muda mudi dan pesta bagai tidak dapat dipisahkan. Ada yang berpesta sehingga alpa akan kedatangan Ramadhan pada 1 September. Apa guna kalau telah mabuk sebelum Ramadhan dan berpuasa pada bulan Ramadhan? Bukankah amalan kita tidak akan diterima selama 40 hari sekiranya kita meneguk air setan?
Biarlah mereka tidak berpuasa. Tiada guna berpuasa jika amalan tersebut sia-sia.
Ramadhan adalah satu bulan mulia, nikmat syurga amat ekstrem janji Tuhan. Perisian Ramadhan penuh barakah sekiranya kita bermaaf-maafan, besabar dan tidak tamak.
Namun sayangnya, ketamakan di mana-mana. Ramadhan atau tidak, siapa peduli.
Orang-orang meniaga di bazar-bazar Ramadhan dengan ketamakan mereka sendiri. Berniaga tidak jujur, untung mesti mau lebih tapi ramuannya biar tidak lengkap. Rasa tidak penting, asal boleh jual. Tamak dan membazir.
Pengusaha-pengusaha restoran dan hotel sama tamak. RM95++ untuk buffet berbuka puasa? Rasa, tidak penting. Orang lapar makan apa sahaja. Keuntungan yang diutamakan. Akhirnya juadah tidak habis. Tamak dan membazir.
Sama tamak dan membazir adalah kita, yang membeli dan melanggannya.
Nuansa politik juga sama sahaja. Ketamakan menguasai diri setiap pelusuk warganya. Pelbagai usaha, salah atau tidak, itu tidak penting. Kuasa dan pengaruh mengatasi segala-galanya. Dia mahu itu, orang itu mahu yang ini. Yang itu ada agenda tersembunyi, yang ini ada cita-cita berahi. Yang bangkit isu rakyat, isu ekonomi, isu perkauman dan tak ketinggalan isu Islam. Islam menjadi isu? Islam itu satu agama suci, satu jalan yang lurus, mengapa perlu menjadi isu?
Saya bertanya sendiri, apakah perisian Ramadhan tahun ini? Jawapannya saya tahu dan ianya amat mengecewakan.
Walllahualam.
No comments:
Post a Comment